Ads

Tuesday 29 September 2015

r Toyo dihukum 12 bulan penjara

Hafiz Yatim  






Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman setahun penjara ke atas bekas menteri besar Selangor Dr Khir Toyo selepas menolak rayuannya berhubung sabitan kes rasuah minggu lalu.

Mahkamah itu juga menolak tawaran doktor gigi berusia 50 tahun itu untuk melakukan khidmat masyarakat dengan menawarkan rawatan pergigian percuma kepada orang miskin sebagai ganti kepada hukuman penjara.

"Dalam analisis akhir, hukuman itu sepatutnya mencerminkan keseriusan kesalahan itu," kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Hakim Zulkefli berkata peguam Khir Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah berhujah bahawa hukuman penjara perlu menjadi pilihan terakhir kerana anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan tiada keganasan terlibat.

Katanya, apa yang penting adalah kepentingan awam dan ia (hukuman itu) tidak boleh diubah jika ia tidak menyalahi undang-undang.

Hakim Zulkefli berkata khidmat masyarakat adalah tidak mencukupi kerana ia adalah untuk pesalah muda dan kesalahan ringan.

"Khidmat masyarakat tidak terpakai. Tindakannya (Khir) telah menyebabkan gangguan keyakinan terhadap penjawat awam," katanya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mohamad Khir dihantar ke penjara Kajang.

Pada 22 September, panel itu menolak rayuan akhir Dr Mohamad Khir dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Dis 2004.

Bekas ADUN Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Dr Mohamad Khir, yang merupakan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dr Mohamad Khir, 50, yang berada dalam keadaan berdiri dalam kandang tertuduh, kelihatan tenang semasa mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Mahkamah penuh sesak dengan anggota keluarga, orang ramai dan wakil media. Isteri beliau Zahrah, 50, turut hadir.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Tan Sri Hasan Lah, Hakim Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Hakim Datuk Ramly Ali.

Dr Mohamad Khir, bapa enam anak, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam pada 2007.

Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya hartanah terbabit dilucuthak dan diserahkan kepada kerajaan.

Doktor gigi itu membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 30 Mei 2013.

Dr Mohamad Khir diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani mewakili pihak pendakwa raya.




Sumber: Feed Bahasa Malaysia

0 comments:

Post a Comment