Ads

Monday 1 June 2015

balikan satu pertiga wakil Sabah, Sarawak di Parlimen

Sabah-Sarawak
Roketkini.com


JOHOR BAHRU: DAP menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan Persidangan Persempadanan Semula semua parti bagi membincangkan prinsip satu pertiga kerusi parlimen Sabah dan Sarawak.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Sabah dan Sarawak wajar mendapat satu pertiga kerusi Parlimen selaras Perjanjian Malaysia 1963.

“Sabah dan Sarawak harus mempunyai satu pertiga daripada kerusi parlimen di negara ini.

“Bukan sahaja selaras Perjanjian Malaysia 1963, namun menjadi perlindungan penting memelihara prinsip asas Perlembagaan sebagai sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi.

“Pada masa ini, Sarawak dan Sabah hanya memiliki 57 daripada 222 kerusi parlimen, jauh dari angka satu pertiga,” katanya.

Sehubungan itu, SPR perlu mengadakan perbincangan berdasarkan prinsip demokrasi bersama semua parti politik.

Gerakan Solidariti Sabah minggu lalu menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menggesa kuasa sepertiga dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak sebagai benteng kepada Perlembagaan.

Memorandum itu ditandatangani Pengerusi Angkatan Perpaduan Sabah Datuk Wilfred Bumburing, Pengerusi Parti Progresif Sabah Datuk Yong Teck Lee, wakil Gerakan Hak Orang Sabah Narawai Ahmad dan Dr Jeffrey Kitingan mewakili Parti Reformasi Negeri (STAR). – Roketkini.com




Sumber: Feed Bahasa Malaysia

0 comments:

Post a Comment