Ads

Friday, 5 December 2014

IC palsu di Sabah terus jadi persoalan?


Kartel penghasilan kad pengenalan palsu secara tersusun atau berstruktur tidak lagi wujud di Sabah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Beliau berkata kegiatan kartel yang mungkin wujud dahulu itu, dapat dibanteras hasil tindakan proaktif dan naziran ketat yang dilaksana kementerian dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



Bagaimanapun, katanya, orang ramai diminta memaklumkan kepada kementerian sekiranya mempunyai maklumat kegiatan kartel sedemikian masih wujud serta individu yang menjalankan kegiatan tersebut.



"Jika masih ada individu yang terlibat, kami mahu orang ramai memaklumkan kepada kementerian atau JPN untuk tindakan pemantauan dan perundangan dapat segera dilakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi

peringkat kementeriannya di Putrajaya hari ini.



Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) berhubung 'projek IC' yang dibentang Rabu lepas.



Laporan RCI itu mendapati pengeluaran kad pengenalan (IC) biru secara haram kepada pendatang asing di Sabah adalah didorong faktor kewangan.



Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika membentangkan laporan RCI itu berkata tidak ada dalam hasil siasatan suruhanjaya itu menunjukkan pengeluaran IC kepada pendatang asing dibuat atas kepentingan politik, khususnya

atas nama 'Projek IC'.



Ahmad Zahid dalam pada itu berkata susulan laporan RCI itu, kementeriannya akan mengambil tindakan dengan melakukan naziran terhadap jabatan yang terlibat dengan RCI iaitu JPN dan Jabatan Imigresen khususnya di Sabah, supaya permasalahan dalaman yang dahulunya berlaku, tidak berulang.



Selain itu, katanya pemegang kad pengenalan hijau akan dinilai berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menentukan kedudukan mereka berdasarkan kepada syor yang akan diteliti jawatankuasa tetap RCI yang dipengerusikan oleh beliau bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.



RCI dalam laporannya turut mengesyorkan sebuah jawatankuasa tetap mengenai PATI ditubuhkan yang akan melaporkan kepada jemaah menteri Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri.



Pada masa sama, sebuah jawatankuasa kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga akan ditubuhkan.



RCI ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 antara lain diberi kuasa menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang telah diberi kad pengenalan atau kewarganegaraan.



Mengulas mengenai usaha penambahbaikan yang dilaksanakan JPN, Ahmad Zahid berkata JPN tidak lagi mengeluarkan sijil kelahiran kepada kanak-kanak yang tiada kerakyatan, khususnya di Sabah.



Sebaliknya, menurut beliau, JPN hanya memberi dokumen rekod kelahiran dengan menggunakan warna sijil yang berbeza.



"Ciri-ciri keselamatan MyKad juga ditingkatkan. JPN juga menjalankan pemantauan serta siasatan yang dibuat oleh pegawai penguatkuasaan berpakaian biasa bukan pakaian seragam," katanya.



-Bernama





Sumber: Feed Bahasa Malaysia

0 comments:

Post a Comment