KOTA KINABALU: Pemilik tanah adat di negeri ini semakin bimbang yang mereka akan kehilangan tanah adat anak negeri (NCR) kepada orang luar gara-gara dasar Kerajaan Barisan Nasional yang ‘pilih kasih.’
Pengerusi Parti Reformasi Negeri (Star Sabah) Jeffrey Kitingan berkata, dasar kerajaan Umno dalam memilih syarikat yang ada kaitan dengannya dari segi politik memburukkan lagi keadaan.
“Dasar Kerajaan Umno BN kurang memihak kepada Orang Asal Sabah dan lebih suka memilih syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan politik,” katanya di sesi dialog dengan penduduk Kampung Malinsau di Ranau.
Keadaan ini menyebabkan penduduk Sabah, terutama pemilik tanah adat semakin bimbang tanah adat mereka akan jatuh di tangan orang luar ini.
Mereka juga mendakwa semakin kerap menghadapi masalah tanah berikutan tanah semakin berkurangan dan pada masa yang sama, undang-undang yang sepatutnya melindungi hak-hak adat juga semakin dicabar, katanya.
Penduduk di Kampung Malinsau terbabit dalam perebutan tanah seluas 1,150 ekar dengan sebuah syarikat dari semenanjung. Sebahagian besar tanah terbabit sudah ditanam dengan pokok getah yang menjadi sumber pendapatan penduduk asal.
Menurut Jeffrey, ada banyak lagi kes membabitkan rampasan tanah di seluruh Sabah termasuk Pitas, Telupid, Tongod, Kunak, Sook, Sepulut dan Tenom.
Melihat kes itu dari pandangan Ordinan Tanah, pentadbiran tanah dan dasar-dasar tanah, Jeffrey berkata, beliau akan membentangkan usul di bawah Rang Undang-undang Persendirian dalam sidang dewan undangan Sabah akan datang.
Beliau akan menggesa supaya pindaan dalam ordinan tanah dibuat bagi menjelaskan lagi peruntukan tertentu seperti definasi NCR dan keputusan pengarah Jabatan Tanah dan Ukur yang mesti boleh dirayu.
Beliau akan mencadangkan sebuah tribunal tanah ditubuhkan sebagai sebuah mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian tanah dan dengan syarat-syarat dalam geran Tanah Adat mesti dipinda bagi membenarkannya diguna bagi tujuan komersial dan industri, selain daripada pertanian.
Yayasan Tanah Adat juga mesti diwujudkan sebagai saluran untuk membantu dan menjaga kepentingan penduduk asal dari segi ekonomi dan sosial, katanya.
“Saya yakin yang wakil rakyat yang lain dan kerajaan Sabah akan menyokong usul ini demi untuk kepentingan rakyat semua terutama penduduk asal Sabah,” kata Jeffrey.
-fmt
Sumber: Feed Bahasa Malaysia
0 comments:
Post a Comment