Ads

Wednesday, 17 July 2013

Jeffrey: Demografi Sabah diubah untuk Umno masuk

Demografi Sabah telah "sengaja" diubah untuk meningkatkan jumlah penduduk Islam di negeri itu, dakwa Pengerusi parti Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini.



Jeffrey mendakwa bahawa proses itu dilakukan untuk menjadikan Sabah negeri majoriti penduduk Islam dan menjustifikasikan kemasukan Umno ke negeri ini.



"Pada 1963, terdapat hanya 4% atau 5% penduduk Melayu di Sabah," katanya sambil menambah bahawa Sabah pernah menjadi negeri majoriti bukan Islam.



"Ini juga merupakan satu-satunya cara untuk mereka berhenti sistem penggiliran (jawatan ketua menteri) dan menguasai Sabah," katanya kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang di Sabah.



Jeffrey berkata masalahnya terletak dengan kerajaan kerana beliau mendakwa kerajaan sendiri yang terlibat dalam keseluruhan skim itu.



Katanya, beliau tidak tahu ia idea siapa, tetapi berkata ia pastinya untuk menguasai politik Sabah.



"Sekarang, terdapat lebih ramai Melayu daripada kumpulan lain (di Sabah)," katanya.



Jeffrey berkata, apa yang berlaku adalah satu ancaman kepada kedaulatan dan kemerdekaan negara.



Beliau bertanya siapakah yang bertanggungjawab, dan menurutnya mereka adalah para pemimpin.



Jeffrey berkata ketika beliau melaporkan kehilangan kad pengenalannya di Jabatan Pendaftaran Negara pada tahun 1990, beliau diberitahu secara peribadi oleh seorang pegawai bahawa satu "projek" sedang berjalan untuk memberikan kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.



Katanya, pegawai tersebut memberinya satu timbunan tebal dokumen, yang menurut pegawai itu, antaranya, terdapat lebih 60,000 orang telah diberikan IC dalam projek ini.



"(Pegawai itu) berkata ia adalah arahan dari ibupejabat," katanya.



Jeffrey berkata beliau menyerahkan dokumen kepada partinya pada masa itu, Parti Bersatu Sabah (PBS), tetapi tidak membuat susulan kerana beliau ditahan tidak lama selepas itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1991 hingga 1994. -MK





Sumber: Feed Bahasa Malaysia

0 comments:

Post a Comment